Sunday, January 25, 2009

NOKOTTA

  1. Lama tidak menulis dalam blog. Tentu sekali masalahnya masa. Barangkali dalam minggu minggu terakhir bulan Januari, saya agak sibuk. Begitupun kuncinya tetap sama, saya gagal memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Tiada alasan atas ketidakupayaan saya ini.
  2. Pengurusan Masa, Pengurusan Kesihatan, Pengurusan Kewangan adalah 3 perkara yang saling berkait rapat. Memahami konsep Triple Management ini menyebabkan sejak dulu lagi saya tidak suka kepada rokok. Seorang perokok adalah mereka yang membuang masa (melihat hembusan asap rokok yang sia sia), merosakkan kesihatan diri dan orang lain dan yang ketara membazirkan wang.
  3. Sebaliknya saya sangat sukakan H2O. Saya minum lebih dari 3 liter air kosong sehari. Sebermula dari waktu bangun tidur, saya terus minum 600 ml air. Air adalah penyembuh penyakit. Tetapi kenapa ramai orang tidak suka minum air kosong. Kenapa mereka memilih soda seperti coke dll? Masyarakat Malaysia secara puratanya menggunakan 25 sudu gula sehari. Oooh..saya jarang sekali minum teh atau kopi yang ada gula atau susu.
  4. Kehidupan ini mudah kalau kita mudahi, senang kalau kita senangi dan seronok kalau kita sentiasa bersyukur. Hari Jumaat malam Sabtu lepas, saya berkesempatan menghadiri Malam Puisi Palestin di Laman Santai, Istana Budaya. Melihat dan mendengar bait kata puitis dari segala macam tokoh : Pak Menteri, Sasterawan Negara, Artis Tersohor dan Pemuisi Terbilang. Alangkah besarnya nikmat Tuhan kepada bumi bertuah mutiara zamrud khatulistiwa bernama Melayu ini.
  5. Sepanjang hidup, saya percaya " There is no limit to what a man can do or where he can go, if he doesn't mind who gets the credit'.. sebab itu saya hidup secara simple, mengikut apa yang saya fikirkan perlu. Oh ya, minggu lepas selesai berjogging, saya masuk ke dalam bank. Seperti biasa bila keluar dari bank ada saja pemungut derma dan 'anak yatim' yang akan datang menghampiri kita. Tapi kali ini tidak ada yang menyerbu menghampiri saya., walaupun ada 3-4 orang pemungut derma disitu.. Saya heran dan lama berfikir..
  6. Rupanya, kerana saya berseluar sukan sedikit melepasi paras lutut dan memakai round collar tshirt... Minda saya tajam menganalisa. oh inilah kehidupan, manusia menilai seseorang berdasarkan pakaian. 2 hari lepas Dato Nik Aziz Nik Mat berkata dalam surat khabar, pakaian tidak mencerminkan keimanan (yang penting menutup aurat).. Kopiah dan serban bukan jaminan haji dan lebai. Kalau di KL, mereka yang memakai tali leher dan kot akan diserbu. Mungkin itu lambang orang kaya... Oh anakku 'anak yatim' , tshirt yang uncle pakai pada petang itu Emporio Armani.. (masyaAllah, lintasan ego uncle menerpa sebentar).
  7. Sedar atau tidak 25 hari dalam bulan Januari telah berakhir. Tinggal 340 hari aje lagi tahun 2009. Buku terkini John P. Kotter, terbitan Harvard Business Press bertajuk "A Sense of Urgency".. kesegeraan bertindak amat perlu dalam hidup. Saya selalu beritahu diri sendiri untuk selalu berusaha memasuki kelompok Top 1% dalam komuniti. Pada saya, matlamat diri adalah setiap hari menjadi lebih baik 0.1% lebih baik dari semalam. 1% lebih baik tiap 10 hari. 10% lebih baik setiap 100 hari dan 100% lebih baik setiap 3 tahun..bermakna setiap 3 tahun menjadi sekali ganda lebih baik dari diri kita hari ini.
  8. Semasa keluar dari dewan selepas melancarkan MRSM Kuala Krai Nombor Satu pada hari khamis 22 Januari, sekumpulan pelajar bertanya apa strategi untuk jadi no satu.. Saya jawab dalam sukan Sumo ada satu perkataan, NOKOTTA.. Menang atau kalah masih belum tentu. Sekiranya pejuang berputus asa, maka dia pasti kalah. Tetapi kalau pejuang terus berusaha dia akan menang. Kemenangan sentiasa ditentukan dengan keupayaan kita membuat keputusan yang betul dalam hidup.

No comments:

Post a Comment