Wednesday, January 14, 2009

PESONA ILUSI IMIGINASI DIRI

  1. Reality Check : Kaya sebenar adalah kita gembira dengan hidup semasa, walau apa pun suasana kita sentiasa merasa berada di puncak dunia. Sentiasa bersedia untuk menang dan sedia juga sekiranya kalah. Apapun keputusan kita terima dengan redha. Kaya sebenar adalah yakin dengan keindahan mimpi hari esok dan menikmati sepenuhnya sampai ke pagi keseronokan mimpi malam tadi. Hidup di alam semesta, berjejak di bumi nyata.
  2. KEJAYAAN bermula dengan dengan keyakinan bahawa kita boleh melakukanya. Untuk membina keyakinan seumpama itu, Pertama, kita mesti mencari seorang MENTOR. Mentor yang membimbing, menunjuk arah, memberi garis panduan, membetulkan, memarahi dan mendorong kita ke arah kejayaan. Mentor yang mengajar kita agar berfikir mencari penyelesaian bukan sekadar nampak masalah tetapi merebut peluang dengan menyelesaikan masalah itu. Mentor yang menjelaskan cara terbaik memanfaatkan ruang dalam mencipta kejayaan.
  3. Kedua, menggunakan secara optima kurniaan Allah kepada kita.. MINDA. Manusia biasa hanya mengguna tidak sampai pun 5 % dari keupayaan minda mereka. Manusia yang berjaya adalah mereka yang bangun pada setiap pagi dan bertanya, kenapa tidak saya? Bangun setiap pagi dan bertanya, kalau ada 100 orang yang berjaya, aku satu dari 100. Kalau ada 10 orang berjaya, aku satu dari 10 dan kalau ada seorang yang berjaya, kenapa tidak aku? (why not me?).
  4. Jalan sebenar kejayaan adalah dengan meningkatkan rasa hormat diri (self esteem) setiap hari. Mulakan dengan perkara mudah dan kecil dulu. Nikmati kepuasan mencari jalan penyelesaian. Bila sudah ada peningkatan keyakinan diri, tingkatkan keupayaan dengan menyelesaikan cabaran berikutnya.
  5. Dua cara tercepat meningkatkan rasa hormat diri adalah dengan pertama, melihat cermin. Pandang tepat kepada orang di dalam cermin itu. Rasakan getar tarikan nafasnya, berkata jujur kepada diri sendiri, apakah kita sudah mencuba yang terbaik dalam setiap perkara yang kita ceburi ( bercermin muka dulu sebelum berkaca mata). Seterusnya perhatikan kerapian, kekemasan, kesegakan dan kebersihan diri. Dalam kata lain sentiasa menjaga penampilan diri. Kedua, dengan menyimpan jurnal. Tuliskan nama pada jurnal itu. Jurnal diri adalah tempat terbaik untuk kita bercakap kepada diri sendiri. Menulis idea akan memberikan kejelasan berfikir yang luar biasa kepada kita dan akan memberi keyakinan berganda kepada kita untuk menterjemahkan idea itu kepada realiti.
  6. Rasa hormat diri sebenar tidak mungkin terbina dengan adanya ego dan sombong diri. Mereka yang berjaya akan tunduk tanda hormat kepada setiap manusia lain, menghargai perbezaan pandangan dan menyumbang semula setiap kali berpeluang.
  7. Wang amat penting dalam kehidupan. Wang adalah alat. Tapi, jangan biarkan wang memusnahkan kita. Jangan sama sekali. Saya mengaku, saya memakai baju berjenama Armani, Zegna, Paul Smith, Prada, Thomas Pink. Saya memiliki 8 buah kereta, memakai kasut dan beg Prada, Louis Vuitton, Zegna, Paul Smith dan sebagainya. Saya memiliki jam Patek Phillipe dan Rolex. Saya menulis menggunakan koleksi pen Mont Blanc.
  8. Begitupun, itu semua bukan lambang kejayaan. Sedikit pun saya tidak terusik dengan semua itu. Saya masih seorang budak kampong yang tidak takut pada pacat dan lintah, selesa sesekali kalau masih ada mandi air perigi dan boleh duduk di kedai kopi mendengar pak mat dan pak leh bersembang tentang kekejaman tentera yahudi di Gaza. Cuma bila saya memesan teh tanpa gula dan susu (orang kampong saya hairan bagaimana boleh hidup tanpa gula dalam minuman), juga bila saya berbeza pendapat dengan mereka yang cuba menyamakan kerajaan Malaysia dengan yahudi, maka mereka pun berkata, saya sudah berubah.
  9. Saya tidak peduli apa yang mereka kata, kerana ummi saya selalu berpesan sepanjang hayatnya, kekayaan sebenar adalah dengan mempunyai solid foudation. Mengetahui siapa kita (who we are), apakah matlamat sebenar di dunia yang sementara ini dan membina kekayaan jiwa dalaman yang akan menyerlahkan potensi insan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. JANGAN SEKALI PUN DALAM HIDUP TERPESONA DENGAN ILUSI IMIGINASI DIRI.

No comments:

Post a Comment